PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan keperluan kesiapsiagaan rapi bagi fasa operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC), Song Hailiang bersama delegasi.
Anwar berkata, selain kemajuan pembinaan, aspek operasi ECRL perlu diberi perhatian serius sejak peringkat awal bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, kecekapan pengurusan serta pulangan maksimum kepada ekonomi negara apabila projek itu mula beroperasi kelak.
Menurut beliau, pertemuan tersebut turut membincangkan sokongan berterusan CCCC terhadap dasar-dasar Kerajaan Madani selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), khususnya dalam memastikan ECRL bukan sekadar siap mengikut jadual, malah berfungsi secara optimum.
“Fasa operasi ECRL amat penting kerana di sinilah nilai sebenar projek ini akan diterjemahkan melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan kecekapan logistik serta limpahan ekonomi kepada industri dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan, ECRL merupakan inisiatif strategik negara yang melangkaui pembinaan infrastruktur rel semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan pengangkutan dan logistik nasional.
Tambah beliau, projek berkenaan juga melambangkan kerjasama erat dan persahabatan Malaysia–China, yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara.– KOSMO! ONLINE














