PADAWAN – “Dari pagi saya hubungi dia kerana mahu mengajak makan tengah hari, tetapi tidak berjawab sehingga diberitahu suami meninggal dunia,” demikian kata isteri kepada mangsa pembunuhan di kawasan perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda di sini.
Menurut wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu, dia menghubungi suaminya sejak pukul 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab sebelum ahli keluarga lelaki itu menghubunginya dan memaklumkan mangsa ditemukan maut di kawasan kubur.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan pada masa sama berharap perkara itu tidak benar sehinggalah saya melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata,” katanya.
Menurut wanita itu, suaminya yang berusia 67 tahun merupakan pekerja di tanah perkuburan tersebut dan ketika kejadian, anak lelakinya turut bersama si mati di lokasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 28 tahun itu di kawasan kedai Batu 17, Siburan pada pukul 4.45 petang semalam.
Mohd Irwan berkata, mangsa ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan. Anaknya yang berusia 34 tahun turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Sylvarius Gopog di talian 013-8637241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan menerusi 082-862233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – KOSMO! ONLINE














