ERA fesyen masa kini berada dalam dunia di mana gaya semakin ‘cair’ dan fleksibel, malah mereka yang kekal relevan ialah golongan yang berpakaian dengan kesedaran, memilih cerita di sebalik rekaan dan menggunakan teknologi sebagai alat, bukan penentu.
Tahun 2025 telah menyaksikan peralihan fesyen ke arah gaya yang lebih praktikal, sedar nilai dan berteras emosi, namun menjengah ke tahun 2026 diramalkan sebagai ‘Tahun Reorientasi’ oleh pemerhati trend global seperti WGSN dan institusi fesyen antarabangsa.
Menurut penata gaya, Min Luna, fesyen tidak lagi sekadar soal visual atau estetika semata-mata, sebaliknya bergerak ke arah sesuatu yang lebih bermakna, berfungsi dan berteraskan teknologi serta kesedaran alam sekitar.
“Dalam era pascapandemik dan digital yang semakin matang, fesyen menjadi medium untuk membina tabiat baik, mengekspresikan nilai diri dan menunjukkan bagaimana kita mahu hidup — lebih sedar, lebih bertanggungjawab dan lebih ‘human’.
“Dari segi siluet dan gaya keseluruhan, trend fesyen 2026 boleh dirumuskan sebagai era ‘Intentional Contrast’ yang meraikan pertembungan ekstrem iaitu kelihatan bertentangan tetapi seimbang,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, potongan pakaian bergerak daripada siluet ketat kepada ‘soft utility’ dan ‘relaxed tailoring’ yang menggabungkan struktur teknikal seperti poket dan pelaras dengan fabrik lembut dan beralun.
Pakaian modular dan fleksibel menjadi keutamaan membolehkan lapisan diubah suai mengikut keperluan harian.
Konsep ‘quiet statement’ pula menggantikan kemewahan lantang iaitu minimal dari jauh tetapi kaya perincian apabila dilihat dekat.
Dalam masa sama, elemen ‘cult of cute’ seperti charms dan inspirasi 80-an serta 90-an kembali sebagai bentuk ekspresi ringan tetapi fungsional.

Kongsinya lagi, pengaruh teknologi pula menjadi antara pemacu utama fesyen 2026. Kecerdasan buatan (AI) tidak menggantikan kreativiti manusia, sebaliknya bertindak sebagai rakan kolaborasi.
“AI membolehkan penggayaan hiper-peribadi berdasarkan data tubuh, cuaca dan emosi pemakai. Fabrik pintar pula semakin responsif dengan keupayaan mengawal suhu, antibau dan melaras saiz secara automatik.
“Walaupun teknologi ini masih mengambil masa untuk diterima secara meluas, arah tuju fesyen jelas menuju ke era ‘phygital’ iaitu gabungan dunia fizikal dan digital di mana pakaian hadir bersama versi digital atau avatar untuk ekspresi diri di media sosial dan metaverse,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam konteks kelestarian, fokus fesyen 2026 akan menuju konsep ‘Circular but Desirable’.
Pakaian lestari tidak lagi dilihat sebagai kompromi gaya, sebaliknya direka untuk tahan lama, berkualiti tinggi dan relevan merentas musim.
Model perniagaan seperti sewaan, jual semula dan pembaikan kini menjadi standard arus perdana.
Ketelusan digital melalui kod QR dan teknologi blockchain pula membolehkan pengguna menjejak asal-usul produk, satu pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.
“Tekstur pula menumpukan pengalaman sensori iaitu kontras matte dan gloss, permukaan berdimensi serta fabrik yang ‘boleh dirasai’,” kongsi Min Luna lagi.
Ujarnya, dari segi material, inovasi hijau seperti biofabric dan kulit berasaskan tumbuhan semakin mampu milik, manakala fabrik hibrid pula menggabungkan serat tradisional dengan teknologi pintar.
Gaya hidup pascapandemik menjadikan fesyen lebih berteras manusia. Prinsip ‘dress to express, not impress’ mengangkat keselesaan sebagai keperluan asas, manakala fungsi menjadi status baharu.
Dalam masa sama, fesyen gender-fluid terus berkembang dengan fokus kepada potongan fit-neutral dan lapisan transformasi yang inklusif serta modest-friendly.
Akhirnya, fesyen 2026 bukan tentang memilih antara minimalisme futuristik atau maksimalisme eksperimental yang mana kedua-duanya wujud serentak dan paling penting ialah niat, nilai dan identiti.
Jika sesuatu gaya itu terasa ‘so me’, maka itulah kemenangan sebenar dalam trend fesyen 2026.














