fbpx
Thiago antara delegasi GSF yang tiba di KLIA, hari ini.

Thiago antara delegasi Global Sumud Flotilla tiba di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiga aktivis antarabangsa, Thiago Ávila, Saif AbuKeshek dan Kleoniki Alexopoulou dilaporkan tiba di Malaysia bagi memulakan jelajah solidariti merentas Nusantara, sebagai sebahagian gerakan global yang memperjuangkan isu kemanusiaan di Palestin dan menolak sekatan ke atas Gaza.

Menerusi hantaran di Instagram Sumud Nusantara Official, ketibaan delegasi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini turut disambut aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri.

Delegasi tersebut difahamkan akan menyertai program Meet and Greet Global Sumud Flotilla pada esok di Hotel Tenera, Bangi bermula pukul 7 malam hingga 10.30 malam.

Program itu turut menampilkan sesi bertemu delegasi dan perkongsian perjalanan serta realiti misi kemanusiaan antarabangsa, selain penyertaan daripada Sumud Nusantara.

Turut dijangka hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim.

Untuk rekod, Thiago Ávila merupakan aktivis dari Brazil yang dikenali sebagai komunikator dan sosio-aktivis alam sekitar, selain berperanan sebagai penyelaras Freedom Flotilla Brazil serta anggota Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) Freedom Flotilla Coalition yang menganjurkan misi solidariti antarabangsa.

Saif AbuKeshek pula diperkenalkan sebagai aktivis Palestin yang turut berada dalam barisan Jawatankuasa Pemandu gerakan berkenaan.

Laporan mengenai rangkaian gerakan solidariti ke Gaza turut menyebut beliau antara tokoh yang terlibat dalam usaha mobilisasi antarabangsa.

Sementara itu, Kleoniki Alexopoulou ialah ahli akademik yang digambarkan sebagai sejarawan, dengan latar penyelidikan dalam bidang sejarah ekonomi dan kolonialisme.

Beliau juga tersenarai sebagai anggota Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla.

Sebelum ini Global Sumud Flotilla membawa ratusan aktivis antarabangsa bersama bantuan kemanusiaan bagi menembusi sekatan laut Israel dan menyampaikan sokongan kepada penduduk Gaza.

Seramai 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.

Bagaimanapun kira-kira 41 kapal dipintas oleh rejim Zionis sebelum para aktivis ditahan di Penjara Ketziot, Israel dan dihantar pulang ke negara masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI