SUBANG JAYA – Gara-gara tersilap tekan pedal minyak ketika mahu meletakkan kenderaan, dua buah kereta remuk selepas dirempuh di kawasan tempat letak kereta di Taman Puchong Indah, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, 28 Disember lalu melibatkan kereta jenis Proton Persona, Perodua Myvi dan Peugeot.
“Siasatan mendapati pemandu kereta Proton Persona berusia 40 tahun secara tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika mahu meletakkan kenderaan sebelum melanggar Perodua Myvi. Dalam keadaan panik, pemandu itu turut terlanggar Peugeot sebelum keretanya berhenti,” katanya hari ini.
Jelasnya, ketiga-tiga pemandu membuat laporan polis, dengan pemandu Proton Persona berbuat demikian selepas menerima rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621.
Terdahulu, tular di aplikasi Facebook berhubung kejadian sebuah kereta melanggar beberapa kenderaan yang berlaku di Puchong. – KOSMO! ONLINE














