PETALING JAYA– Kehebatan pasukan perubatan tempatan sekali lagi terbukti apabila Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan hati ke atas seorang bayi lelaki berusia empat bulan dalam keadaan amat kritikal, sekali gus mencipta detik bersejarah dalam dunia perubatan negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bayi seberat hanya 6.2 kilogram itu pada asalnya dijadualkan menjalani pembedahan pemindahan hati menggunakan penderma hidup iaitu ibunya sendiri pada 25 November lalu.
Namun, beberapa minit sebelum prosedur bermula, bayi berkenaan tiba-tiba rebah apabila jantungnya terhenti, sekali gus mencetuskan situasi cemas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.
“Selama hampir satu jam, pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Nyawa bayi ini benar-benar berada di hujung tanduk,” katanya dalam satu hantaran.
Menurut beliau, dengan pertimbangan klinikal yang berani dan tepat, pasukan perubatan PPUM membuat keputusan kritikal untuk meneruskan pembedahan walaupun risikonya amat tinggi.
Ujar Dzulkefly, cabaran utama adalah pembuluh darah bayi yang terlalu halus, namun kepakaran pakar bedah, pakar bius serta jururawat akhirnya membuahkan hasil apabila pembedahan pemindahan hati itu berjaya dilaksanakan dengan selamat.
“Kejayaan ini bukan sekadar kejayaan teknikal, tetapi lambang semangat luar biasa pengorbanan seorang ibu dan kegigihan doktor yang tidak mengenal erti putus asa,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan tersebut menjadi bukti Malaysia memiliki kepakaran perubatan bertaraf dunia, sekali gus menguatkan tekad Kementerian Kesihatan untuk memacu Agenda Transplan Nasional 2026.
“Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang diperlukan kini adalah sistem sokongan yang kukuh dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma organ,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan PPUM dan menyifatkan mereka sebagai wira sebenar pembuka tirai 2026.
“Dan buat adik kecil ini, selamat membesar. Satu Malaysia mendoakan awak,” katanya.- KOSMO! ONLINE.














