PESONA gemerlapan bintang di langit malam digambarkan sebagai keindahan dan simbolik impian yang banyak disebut dalam bait-bait lagu.
Jelas sukar dicapai dengan tangan, hamparan taburan bintang di ruang angkasa itu bagaimanapun sebenarnya mampu disaksikan dengan mata kasar jika kena pada lokasinya.
Dikenali sebagai ‘stargazing’ atau merenung bintang-bintang, aktiviti ini mempunyai kelompok peminatnya sendiri antaranya Fakrul Jamil.
“Apabila melihat bintang-bintang di langit membuatkan saya berasa kecil sebagai manusia dan pada masa sama bersyukur dapat menyaksikan ciptaan alam yang begitu agung.
“Masih ingat, pada suatu malam saya berada di tepi pantai di Mersing, Johor dan melihat langit kelihatan luar biasa terang. Itu merupakan pertama kali saya dapat melihat langit dipenuhi berjuta-juta bintang dan kelihatan sangat jelas,” ungkap seorang peminat aktiviti itu, Fakrul, 36, kepada CitaRasa.
Di Malaysia, aktiviti ‘stargazing’ boleh dilakukan di beberapa lokasi popular yang sering dikongsikan peminat antaranya di Kuala Kubu Bharu, Selangor; Pantai Tanjung Kempit, Endau, Johor; Pulau Mawar, Mersing, Johor dan Pahat Hill Campsite, Gerik, Perak.
Warga ibu kota yang meminati aktiviti itu lazimnya menuju ke sebatang jambatan di Kuala Kubu Bharu kerana menawarkan pemandangan taburan bintang yang indah.
“Ini lokasi ‘stargazing’ yang mengagumkan tanpa perlu pergi terlalu jauh dari Kuala Lumpur. Cuma, perlu berhati-hati kerana jalan ke sini gelap-gelita,” tulis seorang netizen, Shaun yang berkongsi foto taburan bintang di langit Kuala Kubu Bharu.
Sabah Tourism Board juga menerusi laman webnya mengetengahkan ‘stargazing’ sebagai aktiviti yang ditawarkan di beberapa lokasi antaranya di Usukan Cove, Tegudon Tourism Village dan lain-lain.
Bintang-bintang ini dapat kelihatan di langit kerana berada di kawasan yang kurang pencemaran cahaya serta kurang kabus lazimnya di tempat agak tinggi atau agak terpencil.
Aktiviti ‘stargazing’ juga dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta alam dan mereka yang menginginkan pengalaman berbeza sempena meraikan kehadiran tahun baharu sebagai motivasi mencapai azam dan impian.

Bagi Fakrul, setiap butiran bercahaya di angkasa itu mampu menjadi penggerak kepada semangat optimistik.
“Bagi saya, aktiviti melihat bintang memang sesuai dilakukan sempena tahun baharu kerana ia memberi ruang untuk kita berhenti seketika, bermuhasabah dan menghargai masa.
“Saya melihatnya dari sudut yang positif apabila bintang sering menjadi simbol harapan dan inspirasi.
“Walaupun secara saintifik ia hanyalah objek di angkasa tetapi dari segi emosi dan spiritual ia mengingatkan kita supaya terus bermimpi, berusaha dan tidak putus harapan. Ini cara yang lebih tenang dan bermakna untuk menyambut tahun baharu,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, untuk mereka yang mahu melihat fenomena bintang yang lebih indah iaitu Milky Way atau Bima Sakti, ia boleh dilakukan sekitar Mac nanti.
Menurut Fakrul, Bima Sakti atau fenomena barred spiral galaxy biasanya kelihatan sekitar Mac hingga lewat Oktober sahaja dan selepas itu ia berada di bawah garisan ufuk pada waktu malam.
Fakrul yang juga merupakan jurugambar landskap memberitahu, untuk lebih kepuasan, peralatan optik seperti teleskop dan binokular akan digunakan.
Untuk melakukan aktiviti ini juga, peminat perlu menyemak ramalan cuaca serta fasa bulan.
Bukan itu sahaja, membawa peralatan yang sesuai seperti peralatan keselamatan termasuk persediaan fizikal dan mental juga diperlukan kerana kelaziman lokasinya yang gelap dan jauh daripada orang ramai.
Menurut Fakrul, suasana boleh menjadi sedikit sunyi serta menakutkan terutama bagi mereka yang baru mencuba aktiviti ‘stargazing’.
Kerjaya sebagai jurugambar juga secara tidak langsung membuatkan Fakrul tertarik dengan keindahan langit malam yang jarang disedari orang ramai.
Bermula daripada rasa kagum terhadap alam semula jadi yang penuh misteri itu, Fakrul mengabadikan momen indah melihat bintang di media sosial TikTok dan Instagram.
Tidak hanya aktif melakukan ‘stargazing’ dalam negara, Fakrul turut melakukan hal sama di luar negara.

Negara-negara seperti Iceland dan Norway dan New Zealand telah menjadi destinasi antarabangsa yang dikunjunginya untuk merakam fenomena yang lebih spektakular seperti aurora borealis.
“Setiap negara mempunyai keunikan tersendiri di mana Malaysia memberi pengalaman ‘stargazing’ yang istimewa kerana berpaksikan suasana tropika dan persekitaran semula jadi tempatan.
“Namun, faktor cuaca serta pencemaran cahaya akibat pembangunan merupakan antara cabaran utama yang boleh mempengaruhi tahap terangnya langit malam.
“Di luar negara pula, terdapat lokasi tertentu menawarkan keadaan langit yang lebih jelas terutama di kawasan beriklim sejuk di mana suhu rendah membantu mengurangkan habuk dan partikel di udara.
“Situasi ini sekali gus meminimumkan kadar pencemaran udara, namun setiap lokasi tetap berikan pengalaman berbeza dan unik,” ujar anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Keasyikan melihat cahaya bintang di angkasa itu turut dirasai oleh Noor Fathin Fathynie Kamal Azmi, 34, yang menjadikan aktiviti tersebut sebagai solusi healing buatnya dan suami.
Wanita kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu memberitahu, obsesi terhadap kegiatan perkhemahan secara tidak langsung memperkenalkan dirinya kepada aktiviti ‘stargazing’.
“Saya dan suami suka merenung langit dan memperhatikan bulan dan bintang telah membuatkan kami suka dengan aktiviti ‘stargazing’.
“Disebabkan cantik dan berasa tenang saat menikmati suasana itu, kami juga dapat menghayati keindahan alam ciptaan-Nya yang jarang-jarang dapat dilihat,” katanya.
Pengalaman melihat langit malam itu juga bagi Fathynie dapat menjadi ‘ubat’ bagi kesihatan mental dan fizikalnya.
Tambah Fathynie, sekiranya dua atau tiga hari tanpa hujan adalah antara peluang cerah untuk melihat bintang.
Disokong pula dengan kamera tetapan yang betul membuatkan taburan bintang bukan saja dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi diabadikan dalam bentuk potret digital indah.
“Bonus besar sekiranya mempunyai kamera dengan tetapan yang betul supaya dapat merakam momen indah ‘stargazing’ dengan lebih jelas.
“Detik paling bermakna apabila saya dan suami berkunjung ke Pahat Hill Campsite, Gerik. Ia menyajikan panorama yang begitu indah dan penuh dengan bintang-bintang mempesona,” ujarnya yang turut membawa lapik sebagai tempat pembaringan untuk melihat bintang dengan lebih selesa.
Antara lokasi perkhemahan yang pernah dijadikan pasangan itu untuk ‘stargazing’ ialah Larnmork Campsite Betong, Thailand; Tullynaw Glamping, Tamparuli dan Polumpung Melangkap View Campsite, Kota Belud, Sabah.














