SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah jenis syabu selepas menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek berusia 45 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD SPT kira-kira pukul 10.20 malam.
“Polis menemui 130 unit katrij vape berisi cecair syabu seberat 4,550 mililiter, dengan nilai pasaran dianggarkan RM45,500.
“Selain itu, dua buah kereta serta pelbagai barang kemas termasuk gelang tangan, cincin dan rantai turut dirampas, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan berjumlah RM475,000,” katanya.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing suspek didapati negatif dadah namun suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari bagi membantu siasatan lanjut. Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif sejak dua bulan lalu dan mensasarkan pasaran tempatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














