LONDON – Serangan Islamofobia dalam pengangkutan awam di seluruh Britain semakin meningkat, menyebabkan umat Islam di negara itu mengehadkan perjalanan mereka kerana bimbang menjadi sasaran, demikian menurut maklumat yang didedahkan oleh akhbar The Guardian.
Polis Pengangkutan Britain merekodkan jenayah kebencian terhadap perkauman di England, Wales dan Scotland meningkat daripada 2,827 kes dalam tempoh 2019 sehingga 2020 kepada 3,258 bagi 2024 sehingga tahun lepas.
Jenayah kebencian yang bersifat keagamaan pula meningkat daripada 343 kes dalam tempoh sama kepada 419 kes bagi 2023 sehingga 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif British Muslim Trust (BMT), Akeela Ahmed berkata, data tersebut selaras dengan pengalaman yang dikumpulkan oleh organisasinya daripada umat Islam di seluruh negara.
Beliau menggesa pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan dan kumpulan keselamatan komuniti untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu tersebut.
Beliau menambah bahawa serangan Islamofobia dalam pengangkutan awam yang dilaporkan kepada BMT adalah antara kes paling rumit dan menyedihkan yang pernah mereka kendalikan setakat ini.
“Ramai umat Islam terpaksa menganalisis setiap pergerakan, ekspresi atau gerak isyarat kerana bimbang ia mungkin disalah tafsir, direkodkan dan dijadikan sebagai senjata terhadap mereka.
“Sebilangan besar serangan fizikal dan lisan terhadap umat Islam menyasarkan kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah,” kata Ahmed sambil menyifatkan trend itu sebagai paling membimbangkan berbanding yang lain.
“Kekurangan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam bas dan hentian menyebabkan pelaku sering mengelak daripada dipertanggungjawabkan,” tambahnya. – AGENSI














