fbpx
AISYA yang masih bayi bersama ibunya, Munyati (kanan) sebelum bapanya, Mohammad Ihsan (kiri) hilang di Sungai Nenggiri, Gua Musang lebih dua dekad lalu.

‘Saya harap ayah masih ada, keluarga ratapi cukup lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya harap ayah masih ada.”

Demikian luahan Aisya Humayra Mohammad Ihsan, 23, anak sulung kepada jurutera syarikat minyak dan gas yang hilang secara misteri dalam satu ekspedisi berkayak di Gua Musang lebih dua dekad lalu.

Kehilangan bapanya, Mohammad Ihsan Ishak, 30-an, terus membekas dalam hidup Aisya meskipun ketika kejadian dia baru berusia dua tahun dan tidak mempunyai ingatan jelas tentang bapanya itu.

Mohammad Ihsan, dilapor hilang pada 2004 ketika menyertai ekspedisi tersebut di Sungai Nenggiri, berhampiran Pulau Keldong, Pos Pulat, Gua Musang.

Aisya yang merupakan gra­duan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hanya me­ngetahui kehilangan bapanya seawal usia enam tahun.

“Saya tahu ayah hilang bila saya hubungi ibu ketika itu dan ibu kata dia tengah cari ayah di Kelantan. Itu kali pertama saya dengar mengenai ayah kerana pada awalnya saya ingat ayah tinggalkan kami,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menceritakan semula detik tersebut, Aisya berkata, kehila­ngan ayahnya disedari semasa pasukan berehat untuk makan tengah hari.

“Satu hidangan tidak diambil, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peserta ekspedisi. Usaha mencari segera dijalankan dan hanya topi serta dompet ayah ditemui di kawasan semak berhampiran lokasi terakhir beliau dilihat.

“Seingat apa yang diceritakan oleh ahli keluarga, penca­rian besar-besaran melibatkan pasukan keselamatan, sukarelawan serta lebih 200 orang bomoh dan pengamal perubatan Islam,” jelasnya.

Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat berlangsung selama hampir dua bulan, namun tiada sebarang petunjuk ditemui sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi terma­suk dakwaan bahawa Mohammad Ihsan mungkin ‘dipanggil’ makhluk halus atau terperangkap di alam lain.

Kata Aisya, ibunya, Munyati Kamaruzaman, 48, guru sekolah rendah, pernah bermimpi didatangi bapanya yang menjenguk anak kedua mereka yang baru lahir bersama seorang wanita misteri berselubung hitam.

Aisya yang kini menetap di Kuantan, Pahang, berkata, dia mula memahami ketiadaan ayahnya ketika berusia 11 tahun apabila melihat rakan-rakan mempunyai bapa di sisi.

“Semasa di sekolah mene­ngah, saya mula faham dan mula rasa mahukan kasih sa­yang seorang bapa. Saya harap ayah masih ada. Keluarga saya meratapi pemergian ayah cukup lama. Ibu masih tekad mencari ayah dalam masa lima tahun.

“Lapan tahun selepas kehilangannya, ibu saya berkahwin baru, namun kenangan tentang ayah tidak pernah lekang dalam ingatan keluarga,” katanya.

Difahamkan, surat kematian rasmi Mohammad Ihsan telah dikeluarkan 10 tahun selepas kehilangannya di atas keperluan perundangan dan pampasan syarikatnya serta pembahagian harta pusaka untuk diagihkan mengikut hukum faraid termasuk tanah dan wang kepada keluarganya.

“Walaupun saya tidak sempat mengenali ayah secara peribadi, saya tetap rasa kehilangan itu dan kadangkala saya bayangkan jika beliau masih ada mungkin hidup kami akan sangat berbeza,” luahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN