WASHINGTON – Operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro semalam mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan sekutu dan musuh Washington serta Caracas meluahkan rasa kurang senang.
Negara-negara seperti Russia dan Iran yang mempunyai hubungan lama dengan pemerintahan Maduro, mengutuk operasi itu, manakala kebimbangan mereka turut dikongsi oleh sekutu Washington termasuk Perancis dan Kesatuan Eropah (EU).
– Russia –
Russia menuntut kepimpinan AS mempertimbangkan semula pendiriannya serta membebaskan presiden negara berdaulat itu yang dipilih secara sah.
– China –
Beijing dalam satu kenyataan berkata: “China amat terkejut dan mengutuk keras penggunaan kekerasan secara terang-terangan oleh AS terhadap sebuah negara berdaulat dan tindakannya terhadap presiden (Maduro).”
– Iran –
Iran berkata, ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera AS ke atas Venezuela dan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara serta integriti wilayah negara itu.
– Mexico –
Mexico yang turut diancam oleh Trump dengan kekerasan ketenteraan berhubung pengedaran dadah, mengutuk keras tindakan ketenteraan AS di Venezuela, dengan mengatakan ia menjejaskan kestabilan serantau dengan serius.
– Brazil –
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mengecam serangan AS sebagai penghinaan serius terhadap kedaulatan Venezuela.
– Colombia –
Presiden Colombia, Gustavo Petro menggelar tindakan AS sebagai serangan ke atas kedaulatan Amerika Latin yang akan membawa kepada krisis kemanusiaan.
– Cuba –
Cuba yang merupakan sekutu kuat Venezuela, mengecam keganasan negara terhadap rakyat Venezuela.
– Sepanyol –
Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata, campur tangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan mendorong rantau tersebut ke arah ketidakpastian dan ketenteraan.
– Perancis –
Perancis berkata, operasi AS menjejaskan undang-undang antarabangsa serta menegaskan bahawa tiada penyelesaian kepada krisis Venezuela boleh dikenakan secara luaran.
– Jerman –
Canselor Friedrich Merz berkata, Maduro telah membawa negaranya kepada kehancuran, namun beliau tetapi menggelar tindakan AS sebagai ‘rumit’ dari segi undang-undang.
– EU –
EU secara amnya melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan tersebut dan menggesa agar undang-undang antarabangsa dihormati, walaupun ia menyatakan bahawa Maduro tidak mempunyai legitimasi.
– Britain –
Perdana Menteri Keir Starmer berkata, Britain akan membincangkan situasi yang sedang berkembang di Venezuela dengan AS sambil menyatakan bahawa Britain tidak akan meratapi kejatuhan rejim Maduro.
– Israel –
Israel memuji operasi itu, dengan mengatakan Washington bertindak sebagai ‘pemimpin dunia bebas’.
– Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) –
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sangat bimbang melihat serangan AS itu, dengan jurucakap beliau memetiknya sebagai berkata, ia boleh menjadi perkembangan yang berbahaya.














