PETALING JAYA – Program Jelajah Bah, Upgrade Kita Bersama Yayasan Peneraju (YP) telah berjaya menarik minat hampir 5,000 orang dan merekodkan kira-kira 1,200 pendaftaran profil baharu.
Sambutan baik program yang dianjurkan oleh YP itu menunjukkan peningkatan ketara kadar penyertaan di Sabah
Acara jelajah yang berlangsung dari 15 hingga 26 Oktober itu bertujuan untuk mencungkil, memupuk dan membangunkan bakat bumiputera yang berdaya saing di peringkat global.
Ia dilaksanakan bagi meluaskan penyertaan dalam inisiatif Pembangunan Bakat Bumiputera, di samping memperkukuh keterlibatan YP dalam kalangan komuniti pelbagai latar belakang di seluruh Sabah.
Dalam masa yang sama, program ini akan memaklumkan kepada agensi tentang keperluan sebenar komuniti tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, program jelajah di
Sabah memberikan gambaran jelas mengenai aspirasi serta kesediaan komuniti
tempatan untuk mempertingkatkan kemahiran diri.
“Ramai belia yang kami temui menunjukkan minat tinggi untuk membina keupayaan
dalam bidang seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan, analitik data dan sains
data.

“Pada masa yang sama, terdapat juga permintaan terhadap kemahiran perniagaan
dan profesional, termasuk perakaunan serta kelayakan Penganalisis Kewangan
Berkanun (CFA).
“Ini mencerminkan realiti Sabah sebagai sebuah negeri yang sedang bersedia menerima pelaburan baharu serta perkembangan industri yang pesat,” katanya.
Ibrahim menerangkan, sebelum ini lazimnya program sedemikian merekodkan sekitar 400 penyertaan dari Sabah setiap tahun, namun pelaksanaan program jelajah Bah, Upgrade Kita Bersama
YP telah melonjakkan angka tersebut dengan ketara.
Sepanjang 12 hari pelaksanaan program jelajah tersebut, YP memperkenalkan modul
pendidikan dan peningkatan kemahiran Bah, Upgrade Kita berasaskan lima tema
utama, iaitu Digital Community, NexGen Leadership, Legal Literacy for All,
Sociopreneur Catalyst and Excel for Data.
Kesemua modul ini dilaksanakan dengan sokongan 21 rakan kerjasama tempatan dan disesuaikan mengikut keperluan setempat di 21 lokasi berbeza bagi memastikan impak yang lebih menyeluruh dan relevan kepada komuniti terlibat.
Program jelajah berkenaan telah menyantuni komuniti di pelbagai daerah termasuk
Lahad Datu, Kunak, Sekong, Elopura, Tambunan, Kota Marudu, Kinabatangan, Marak
Parak, Kota Belud, Keningau dan Putatan.
Pendekatan menyeluruh ini membolehkan YP mendekati pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang sebelum ini berdepan kekangan akses kepada maklumat sahih, sambungan internet yang stabil serta peluang pembangunan di peringkat nasional. -KOSMO! ONLINE














