PASUKAN Selangor FC percaya aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di laman sendiri pada malam ini boleh dianggap sebagai ‘kayu ukur’ buat pasukan untuk mengharungi tahun 2026 dengan cemerlang.
Pengendali interim skuad Gergasi Merah, Christophe Gamel mengakui Harimau Selatan bakal memberi ujian getir buat anak-anak buahnya kerana mereka adalah pasukan terbaik di Liga Malaysia sejak beberapa tahun lepas.
“(Menentang JDT) adalah permulaan (tahun) yang sangat sukar. Namun, dalam masa sama saya anggap ini adalah peluang buat kita untuk menilai sejauh mana kita berkembang ke tahap yang lebih baik,” kata Gamel.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad Gergasi Merah tidak ditewaskan JDT adalah pada 2022 ketika saingan Liga Super berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Sementara itu, pengendali import dari Perancis itu mengakui pasukan perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang sekiranya mahu meraih keputusan positif.
“Di peringkat tertinggi, pasukan tidak boleh melakukan itu (melepaskan banyak peluang seperti sebelum ini). Kami perlu mempunyai mentaliti ‘pembunuh’ kerana apabila kami ada peluang, kami perlu mematikan permainan. Jika tidak, kita yang akan tewas,” katanya.
Pasukan Selangor FC sedikit tempang menentang JDT apabila kehilangan beberapa tonggak import selepas dilepaskan oleh pihak pengurusan hasil persetujuan bersama melibatkan Zack Clough, Willian Lira, Kevin Deeromram dan Toni Domgjoni.














