PETALING JAYA – Impian Selangor FC untuk mencuri mata ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali pertama dalam tempoh empat tahun tidak kesampaian selepas tewas 0-2 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah membariskan kesebelasan terbaik dengan Faisal Halim, Chrigor Moraes dan Mukhairi Ajmal mengetuai jentera serangan.
JDT yang dibimbing oleh Xisco Munoz turut membariskan pemain berpengaruh seperti Jairo Da Silva, Manuel Hidalgo dan Oscar Aribas dalam misi melakar kemenangan ke-13 berturut-turut.
Skuad Harimau Selatan dilihat mudah mendominasi pada awal perlawanan sehingga memaksa Gergasi Merah berada dalam tekanan untuk bertahan.
Gol yang dicari JDT akhirnya tiba pada minit ke-7 selepas pertahanan Selangor, Richmond Ankrah tertampan gol ke gawang sendiri hasil rembatan Nacho Mendez.
JDT hampir menggandakan jaringan berselang beberapa minit kemudian tetapi percubaan satu lawan satu Jairo gagal menepati sasaran.
Seperti bangun daripada lena, Selangor FC cuba bangkit selepas minit ke-25 apabila mula mencipta ruang dan peluang untuk mengasak benteng JDT menerusi serangan balas pantas.
Namun, percubaan yang dilakukan oleh Chrigor dan Faisal ketika hanya berdepan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi gagal disudahkan dengan baik.
Bersambung pada babak kedua, Selangor terus melakukan asakan dalam misi memburu gol penyamaan tetapi serangan yang dilakukan mudah dipatahkan oleh benteng JDT.
Skuad Harimau Selatan cuba untuk menambah jaringan dengan memasukkan penyerang berbisa, Bergson da Silva untuk digantikan dengan Hidalgo
Percaturan itu membuahkan hasil selepas Bergson menambah gol kedua pada masa kecederaan dengan keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan JDT gah mendahului carta liga dengan 39 mata manakala Selangor FC kekal dengan 25 mata. – KOSMO! ONLINE














