SEREMBAN – Polis mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi, Nubhan atau nama penuhnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 39, berhubung dakwaan mengeluarkan barangan milik bekas isterinya dari rumah di Senawang di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, penyanyi itu membuat laporan pada 29 Disember lalu yang memaklumkan dia pergi ke rumah tersebut untuk mengeluarkan barang-barang milik Dr. Fie untuk dihantar ke rumah bekas mentuanya.
“Pada 1 Januari lalu, wanita itu (Dr. Fie) pula membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Nubhan yang memindahkan barang kepunyaannya tanpa keizinan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azahar berkata, siasatan awal dijalankan berhubung kedua-dua laporan polis tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan dirujuk kepada mahkamah syariah.
Sebelum ini media melaporkan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie membuat laporan polis berhubung isu barangan peribadinya dipindahkan tanpa notis.- KOSMO! ONLINE














