PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Madinah berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia dan dijangka bertolak pulang ke tanah air esok.
Perkara itu dimaklumkan pelakon, Avaa Vanja yang juga mutawifah Ikhlas.com yang memberitahu, kesemua jemaah dijangka menaiki pesawat AirAsia dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.
Sehubungan itu, sumbangan yang dibuka sebelum ini ditutup memandangkan jumlah terkumpul sudah mencukupi untuk pengurusan dan membawa pulang jemaah tersebut ke Malaysia.
“Alhamdulillah, dengan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin, para jemaah berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Malaysia melalui AirAsia.
“Sebagai mutawifah Ikhlas.com dan wakil, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang membantu, daripada individu persendirian hingga ke pihak terlibat secara langsung dalam urusan kebajikan mereka.
“Ikhlas.com menggalas tanggungjawab ini yang mana satu pasukan khas diatur untuk memastikan kebajikan jemaah terjaga. Penginapan, makanan dan pengangkutan jemaah diuruskan oleh pihak Ikhlas.com. Mereka akan berlepas pulang pada 5 Januari 2026 (esok),” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Avaa turut berkongsi video ucapan penghargaan terima kasih daripada wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, kepada semua pihak yang membantu keluarganya untuk pulang ke tanah air.
“Terima kasih kepada Puan Avaa selaku wakil Ikhlas.com, individu lain, Tuan Afiz Ayub dan rakan-rakan serta individu lain kerana dapat bawa kami pulang. Semoga dengan semua sumbangan, semoga murah rezeki dan terima kasih dapat membantu,” katanya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempahan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada semalam belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE














