fbpx
KEADAAN mangsa selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Taman Murni Jaya, Machap malam tadi. Foto PDRM

Gara-gara dikejar anjing, suami maut, isteri dan anak lelaki parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seorang lelaki maut manakala isteri dan anaknya parah akibat merempuh sebuah lori yang diparkir di tepi jalan selepas dipercayai terkejut kerana disergah dan dikejar seekor anjing dalam kejadian di Taman Murni Jaya Machap di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 malam ketika Muhamad Amirul Azim Hamdan,28. menunggang motosikal
Benelli TNT300 dan dibonceng isterinya, Noorhaidah Mohd Basri,28, serta anak lelaki berusia setahun lapan bulan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah simpang Tasik Machap menghala ke kawasan perumahan Taman Murni.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, seekor anjing dipercayai datang secara tiba-tiba dan mengejar keluarga tiga beranak itu menyebabkan mangsa terkejut dan cemas seterusnya memecut laju motosikalnya.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa hilang kawalan ke atas motosikal ditunggangnya lalu melanggar belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dilokasi kejadian manakala isteri serta anaknya cedera parah.

Ujarnya, mayat mangsa, isteri serta anaknya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk proses bedah siasat serta rawatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN