LONDON – Chelsea turun untuk aksi pertama tahun 2026 dengan cabaran yang cukup besar selepas kehilangan khidmat pengurus mereka, Enzo Maresca yang meletakkan jawatan, selain keputusan perlawanan terakhir sekadar terikat 2-2 menentang Bournemouth.
Awal pagi esok, mereka berdepan yang tidak mudah apabila perlu berkunjung ke Etihad untuk menentang Manchester City dengan tugas mengemudi pasukan diberikan kepada pengendali pasukan bawah 21 tahun, Calum McFarlane.
“Tempoh 24 jam yang ‘gila’, tetapi ia suatu yang perlu dinikmati dan mengujakan. Kami tidak tahu apa yang berlaku selepas perlawanan ini, cuma kami diminta untuk membuat persiapan menghadapi City dan saya positif mengenainya.
“Kami akan ke sana dengan membawa reputasi dan maruah pasukan serta cuba mendapatkan keputusan yang baik. Sudah tentu kami sedar bakal berdepan pasukan yang baik, dalam prestasi cemerlang serta di kemudi pengurus yang hebat.
“Tetapi, kami juga memiliki pasukan yang baik dan pemain-pemain yang luar biasa. Semua itu membantu kami untuk menjadi positif. Saya pesan kepada pemain supaya menunjukkan versi terbaik mereka pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Sekali pun kedudukannya tidak terjejas walau apa juga keputusan yang bakal diraih oleh Chelsea pada perlawanan itu, McFarlane percaya ia merupakan perlawanan melibatkan dua pasukan besar dan Chelsea tidak bersedia untuk mengibar ‘bendera putih’ terlalu awal.
“Kita pernah melihat bagaimana Chelsea berdepan momen-momen yang besar dan kali ini mereka teruja untuk berdepan cabaran. Saya mahu melihat pemain kembali menujukkan tahap persembahan yang pernah mereka harungi berdepan pasukan besar sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI














