RABAT – Penyerang Maghribi, Ayoub El Kaabi mula menjadi bualan para peminat bola sepak dunia selepas meledak dua gol menakjubkan dengan gaya sepakan gunting dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika ini.
Kini, penggempur No. 9 Olympiacos itu memburu koleksi hatrik jaringan akrobatik apabila turun membantu pasukan tuan rumah menentang Tanzania dalam pertemuan pusingan 16 di Stadium Prince Moulay Abdellah tengah malam ini.
Nama El Kaabi sebelum ini tidak terlalu diberikan perhatian khusus dalam skuad Maghribi yang dilimpahi bintang-bintang lebih ternama seperti Achraf Hakimi (Paris Saint-Germain), Yassine Bounou (Al-Hilal), Noussair Mazraoui (Manchester United) dan Brahim Diaz (Real Madrid).
Namun, bekas penjaring terbanyak AFCON 2018 itu mencipta sensasi pada edisi kali ini sehingga diberi gelaran ‘El-kaabicycle’ disebabkan dua jaringan akrobatiknya ketika menentang Comoros dan Zambia.
“Setiap kali melihat ke udara untuk menjaringkan gol, saya akan cuba berikan sedikit ‘magis’ kepada semua penonton. Perasaan yang sangat gembira dapat melihat reaksi mereka.
“Namun, saya tidak begitu memikirkan perkara ini kerana fokus saya pada perlawanan dan pasukan. Cumanya saya tidak nafikan kepuasan apabila dapat melakukannya,” kata El Kaabi.
Perjalanannya sungguh luar biasa kerana membesar dalam keadaan sukar di kawasan kelas pekerja Derb Milla di Casablanca dan terpaksa berhenti sekolah pada usia 15 tahun untuk melakukan pelbagai kerja kecil seperti pertukangan kayu, mencuci permaidani, menjual garam di jalanan.
Bola sepak menjadi talian hayat dan membuka jalan buatnya meninggalkan kerja buruh selama-lamanya apabila menjadi pemain profesional pada usia 21 tahun walaupun kariernya penuh dengan cabaran.
El Kaabi pernah bermain di China semasa pandemik COVID-19, terselamat daripada gempa bumi di Turkiye dan akhirnya menemui kestabilan bersama Olympiakos sejak 2023. – AGENSI














