SHAH ALAM – Hasrat hanya mahu keluar seketika berakhir dengan tanda tanya apabila Nurul Nazla, 42, dilaporkan hilang tanpa khabar selepas menziarahi suaminya yang sedang dirawat di Hospital Shah Alam, petang semalam.
Adiknya, Nurul Nadia Abd. Halim, 39, berkata, kakaknya berada di hospital berkenaan bagi menziarahi suami yang sedang dirawat akibat masalah jantung.
“Pada sebelah petang, kakak memberitahu mahu keluar seketika untuk pergi ke sekitar Telok Panglima Garang.
“Kakak yang memandu SUV (kenderaan utiliti sukan) Proton X50 kali terakhir menghubungi suaminya memaklumkan ada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Nurul Nadia, kakaknya tidak mempunyai sebarang masalah rumah tangga atau konflik keluarga yang boleh dikaitkan dengan kehilangannya.
“Kami sekeluarga sangat risau. Kakak seorang yang bertanggungjawab dan tidak pernah menghilangkan diri tanpa sebab. Kami hanya mampu berdoa agar dia berada dalam keadaan selamat dan segera pulang,” katanya.
Tambahnya, laporan kehilangan telah dibuat di Balai Polis Telok Panglima Garang sekitar tengah malam tadi dan keluarga kini merayu orang ramai agar tampil membantu sekiranya mempunyai sebarang maklumat.- KOSMO! ONLINE














