KAJANG – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cubaan mencuri kabel di Sungai Lalang, Semenyih di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi semalam di kawasan Semenyih.
“Suspek ditahan bersama motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki 17 rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu direman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 dan 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan A. Vaelmurgan di talian 019-611 1660 atau balai polis berhampiran.
Terdahulu, polis memaklumkan sedang giat memburu beberapa individu dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel di Sungai Lalang. – KOSMO! ONLINE














