MUNICH – Selepas hampir tujuh bulan berehat, pemain sensasi Bayern Munich, Jamal Musiala kembali menjalani latihan intensif dalam misi untuk membuat kemunculan semula bersama skuad utama pada kempen Bundesliga musim ini.
Sebagai rekod, Musiala dilihat sudah memulakan latihan lebih awal kelmarin berbanding skuad utama Bayern yang hanya diarahkan melapor diri selepas cuti Hari Krismas di pusat latihan kelab awal pagi semalam.
Menurut laporan, Musiala yang berusia 23 tahun diarahkan untuk melakukan latihan bagi membina kekuatan sebagai fasa pemulihan sebelum turun beraksi dengan lebih kompetitif apabila skuad utama tiba nanti.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany memberi bayangan pemain antarabangsa Jerman itu mungkin boleh melakukan penampilan pertama pada bulan ini andai sudah mendapat kecergasan sepenuhnya.
“Jamal semakin hampir dan kita berharap dia boleh menyertai beberapa sesi latihan yang sudah dirancang barisan kejurulatihan.
“Sekarang adalah fasa yang sangat penting buat dirinya dan juga untuk pasukan. Mudah-mudahan dia dapat minit permainan pertamanya pada Januari dan itu adalah pelan ideal kami,” katanya.
Musiala sebelum ini disahkan patah kaki pada aksi suku akhir Piala Dunia Kelab 2025 menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada Julai lepas selepas diterjah penjaga gol lawan, Gianluigi Donnarumma sehingga terpaksa menjalani pembedahan segera. – AGENSI














