WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa Washington akan ‘mentadbir’ Venezuela sehingga peralihan yang selamat, betul dan bijaksana dapat dipastikan, selepas serangan yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Syarikat minyak AS juga akan membaiki infrastruktur yang rosak Venezuela dan mula mengaut keuntungan untuk negara,” kata Trump.
AS melancarkan serangan ke atas Venezuela semalam, di mana Maduro dan isterinya ditangkap dan diusir dari negara itu.
Peguam Negara AS berkata, Maduro didakwa atas tuduhan dadah dan senjata.
Tidak jelas bagaimana AS merancang untuk mentadbir Venezuela tetapi Trump berkata, ia akan terdiri daripada sekumpulan orang yang mengetuai serangan itu.
“Kami akan melaksanakannya dengan satu kumpulan, dan kami akan memastikan ia dijalankan dengan betul,” kata Trump.
Apabila disoal oleh wartawan tentang siapa dalam Venezuela yang akan menjadi sebahagian daripada kumpulan tersebut, Trump berkata, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio telah bercakap dengan Naib Presiden Delcy Rodriguez.
Menurut Trump, Rodriguez telah menyatakan kesediaannya untuk melakukan apa sahaja yang diminta oleh AS.
Bagaimanapun, bercakap di stesen televisyen kerajaan selepas kenyataan Trump, Rodriguez menggelar Maduro sebagai ‘satu-satunya Presiden di Venezuela’ sambil menambah, negara itu bersedia untuk mempertahankan diri. – AGENSI














