PETALING JAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan prosedur pemindahan hati kepada seorang bayi berusia empat bulan dengan berat hanya 6.2 kilogram.
Menurut beliau, kejayaan tersebut mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi luar biasa warga kesihatan negara, khususnya dalam mengendalikan prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi.
Anwar berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan institusi perubatan tempatan, malah mengangkat reputasi sistem kesihatan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.
“Usaha dan pengorbanan pasukan perubatan ini wajar dijadikan contoh serta inspirasi kepada seluruh rakyat bahawa Malaysia memiliki keupayaan dan kepakaran perubatan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau turut mendoakan kesejahteraan bayi berkenaan serta mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan prosedur berkenaan.
Terdahulu, November lalu, PPUM melakukan pembedahan pemindahan hati terhadap seorang bayi lelaki yang mengalami kegagalan organ itu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata, kejayaan PPUM melakukan pembedahan pemindahan hati terhadap seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada November lalu membuktikan Malaysia memiliki kepakaran bertaraf dunia.- KOSMO! ONLINE.














