PETALING JAYA – Kisah pemergian seorang suami yang sempat memuji isterinya sebelum ‘pergi’ buat selama-lamanya kembali mencetuskan rasa sebak apabila kenalan dan jiran berkongsi kebaikan Allahyarham.
Berdasarkan komen orang ramai di Facebook Kosmo!, Allahyarham Jamil Khair Ahmad Rashidi, 63, disebut-sebut sebagai individu yang lembut tutur kata, mudah mesra dan rajin beribadah.
Seorang kenalan, Afiq Muzakkir berkata, Allahyarham merupakan antara individu yang tidak pernah ‘culas’ untuk ke surau.
“Waktu subuh sempat dia azan dan dengar kuliah. Sempat juga lambai dekat ibu bapa saya sebelum balik rumah.
“Dengar-dengar cerita meninggal tengah hari tu. Waktu solat sangat-sangat ramai sampai sesak surau taman, sama juga waktu kebumi, mudah lancar je semua urusan,” katanya yang turut menyifatkan arwah sebagai jiran yang disenangi.
Bagi penduduk setempat, Yusri Mohd Hussin berkata Allahyarham bukan sekadar dikenali di surau, malah aktif dalam urusan kejiranan selain menyifatkan Jamil sebagai ‘penggerak masyarakat’ yang sering menyantuni jiran tetangga.
“Sahabat Taman Seroja yang sangat baik menyantuni kejiranan kami, baik dengan semua orang terutama anak-anak.
“Penyeri majlis-majlis yang diadakan juga bertindak mengetuai organisasi masyarakat setempat. Kehilangan yang amat terasa bagi kami warga Seroja,” katanya.
Seorang lagi kenalan, Ila Ceklawa turut meluahkan rasa pilu, malah berkata Allahyarham banyak berjasa kepada keluarganya.
“Abang Jamil memang sangat baik… banyak jasa abang Jamil pada kami sekeluarga,” ujarnya.
Perkongsian turut datang daripada Latifah Ab Latiff yang mengimbau peristiwa lama melibatkan Allahyarham, sekali gus menunjukkan hubungannya dengan masyarakat bukan sekadar kenalan biasa.
“Arwah sangat baik dan seorang yang sangat prihatin… semoga arwah dan anaknya ditempatkan di syurga di sisi orang-orang beriman,” katanya.
Dalam pada itu, tularnya kisah Allahyarham turut disusuli dengan ucapan takziah dan doa orang ramai yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat komuniti.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kata-kata terakhir arwah kepada isterinya Zaini Nuruddin, 63, yang disebut kira-kira dua jam sebelum arwah disahkan meninggal dunia pada 2.50 petang di rumah mereka, dengan detik itu turut dirakam CCTV.
Perkongsian anak bongsu mereka, Muhammad Isyraf Jamil Khair, 24, menceritakan detik menyentuh hati itu berlaku ketika ayahnya baru pulang sekitar pukul 12 tengah hari dan menemani ibunya menyidai kain.
“Ayah masuk rumah sempat jamah makanan sedikit dan ayah ada tanya sekarang pukul berapa, dan waktu tu sekitar 2 petang lebih, ayah ke bilik untuk rehat, nafas ayah tiba-tiba bunyi kuat, saya dan mak cuba kejut ayah dan buat CPR (bantuan pernafasan) sambil menghubungi pihak hospital.
“Tapi masa itu ayah tak beri tindak balas. 20 minit kemudian ambulans sampai buat pemeriksaan dan buat CPR sekali lagi, tetap sama. Ayah disahkan meninggal pukul 2.50 petang akibat sakit tua. Ayah ada kencing manis, tapi terkawal. Ayah pergi dengan sangat tenang dan senang, tidak menyusahkan kami semua,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE














