fbpx
POLAND

5 negara pengeksport utama bunga api, No.1 tiada tandingan raih bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUNGA api cukup sinonim dengan musim perayaan, sambutan tahun baharu dan perkahwinan yang menjadi acara pelengkap untuk memeriahkan suasana.

Tidak mengira usia, sesiapa sahaja pasti akan bersorak gembira setiap kali melihat bunga api berkembang indah di udara.

Disebabkan bunga api sudah menjadi salah satu perkara yang cukup dekat dengan masyarakat di seluruh dunia, maka pemintaannya sentiasa meningkat. Situasi ini mendorong beberapa negara di dunia untuk memberi fokus kepada industri pembuatan bunga api.

Jadi pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima negara pengeksport bunga api terbesar di dunia seperti dilaporkan oleh World’s Top Exports.

1- China

CHINA merupakan negara pengeksport bunga api terbesar di dunia yang menguasai kira-kira 90 peratus (%) pasaran global. Pada tahun lalu, China telah mencatatkan nilai eksport bunga api sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.86 bilion).

Sejarah bunga api di China bermula sejak berabad yang lalu apabila ahli kimia cuba mencipta ramuan ubat dengan mencampurkan saltpetre, sulfur dan arang.

Eksperimen itu akhirnya membawa kepada penciptaan serbuk letupan yang digunakan untuk tujuan ketenteraan sebelum menjadi sumber hiburan.

Hari ini, industri bunga api di China menggaji berjuta-juta orang di beberapa wilayah.

Hab pengeluaran yang paling terkenal adalah Bandar Liuyang di Hunan.

Bandar itu adalah ‘rumah’ kepada lebih 1,000 pengeluar bunga api, daripada jenis kecil sehinggalah bahan letupan besar di udara.

2- Belanda

DI tangga kedua ialah Belanda yang membekalkan bunga api di seluruh dunia terutamanya untuk pasaran Eropah seperti Itali, Jerman, Sepanyol, Portugal dan Belgium.

Pada tahun lalu, Belanda mencatatkan nilai eksport bunga api sebanyak AS$36.8 juta (RM149 juta).

Urusan pengeksportan bunga api melibatkan peraturan yang ketat kerana perlu memohon lesen melalui badan seperti TNO (Pertubuhan Belanda untuk Penyelidikan Saintifik Gunaan) dan pemberitahuan kepada ILT (Inspektorat Alam Sekitar dan Pengangkutan).

Semua pemain industri termasuk syarikat pengedar dan pengilang perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan awam.

Bunga api yang dikeluarkan oleh negara ini memfokuskan pada piroteknik gred profesional (F4/F3) dan ‘cengkerang besar’ oleh syarikat pengeluar seperti Xena Vuurwerk.

3- Poland

DENGAN menampilkan pengeluar dan pemborong terkenal seperti Gaoo Fireworks, Jorge Fireworks, Piromax dan Hurtownia Fajerwerków AS, Poland membekalkan bunga api untuk pasaran di seluruh Eropah. Destinasi eksport utamanya termasuk Perancis, Jerman, Itali dan Romania.

Poland telah membangunkan reputasi untuk kualiti dan kebolehpercayaan dalam sektor piroteknik.

Syarikat tempatan menawarkan pelbagai jenis produk daripada kit pengguna amatur hingga bunga api paparan gred profesional.

Pada tahun lalu, Poland mencatatkan nilai eksport bunga api sebanyak AS$23.1 juta (RM93.5 juta).

4- Jerman

BERADA di kedudukan keempat adalah Jerman yang menjadi pengeksport penting bunga api dan piroteknik. Syarikat utamanya adalah seperti NICO Europe, Bavaria Fireworks dan LMP Pyrotechnik.

Syarikat-syarikat ini menawarkan pelbagai produk daripada bunga api biasa untuk amatur sehinggalah kesan paparan tinggi dan piroteknik teknikal. Syarikat berkenaan memenuhi pasaran komersial dan runcit di seluruh dunia.

Pasaran utama pengeksportan bunga api dari Jerman termasuklah Amerika Syarikat, Belanda, Perancis dan United Kingdom. Pada 2024, Jerman mencatatkan nilai eksport sebanyak AS$22.1 juta (RM89.44 juta).

5- Sepanyol

KELIMA, Sepanyol menjadi salah satu pengeksport terbesar bunga api di dunia dengan syarikat-syarikat utama termasuk Pirotecnia Caballer S.A dan Pirotecnia Ricardo Caballer.

Syarikat-syarikat lain yang terlibat dalam industri bunga api di Sepanyol adalah Caballer FX, Pirotecnia Vulcano, Pirotecnia Esteban Martin (PEM) dan Pirotecnia Igual S.A yang menawarkan produk amatur dan profesional.

Negara itu mengeksport ke destinasi seperti Amerika Syarikat, Perancis, Chile, Jepun dan United Kingdom.

Pada tahun lepas, Sepanyol mencatatkan nilai eksport bunga api sebanyak AS$19.6 juta (RM79.32 juta).

Pada masa sama, Sepanyol mengimport bunga api yang banyak dari China dan Belanda.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN