PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Madinah, kini sedang dalam perjalanan ke Mekah seterusnya dijangka berlepas ke tanah air esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh pelakon, Avaa Vanja yang juga mutawifah serta turut mengiringi perjalanan kumpulan jemaah tersebut dengan menaiki bas.
“Alhamdulillah, on the way (dalam perjalanan) ke Mekah,” katanya menerusi mesej ringkas kepada Kosmo! bersama beberapa gambar hari ini.
Hari ini Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Madinah, berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak dan rakyat Malaysia serta dijangka berlepas ke tanah air esok.
Penerbangan itu adalah melalui pesawat AirAsia X dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Sehubungan itu, sumbangan yang dibuka sebelum ini telah ditutup memandangkan jumlah terkumpul itu mencukupi untuk pengurusan dan membawa pulang jemaah tersebut ke Malaysia.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada semalam belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE














