PORT DICKSON – Sekumpulan kaki pancing gempar selepas seekor buaya besar timbul di permukaan laut ketika mereka memancing di Jeti Shell, berhampiran Kampung Gelam, di sini petang tadi.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Siti, 40-an berkata, kelibat buaya itu disaksikan sendiri oleh anak-anaknya yang kebetulan sedang memancing di lokasi berkenaan bersama jiran-jiran.
“Sebelum ini kami hanya dengar ada buaya di jeti ini, namun tak pernah pula kami terserempak atau nampak buaya yang dimaksudkan penduduk. Namun, kini timbul rasa gusar sehingga kami takut untuk turun menjala di situ.
“Petang ini kira-kira pukul 7.05 petang, anak saya sempat rakam kelibat buaya berkenaan yang dianggarkan panjang lebih lima meter. Buaya itu kelihatan berenang menuju ke Tanjung Gemok.
“Bimbang juga kami kerana lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda lebih-lebih lagi waktu cuti sekolah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ujar Siti, dia berharap agar orang ramai yang berada di pantai atau sedang mandi-manda supaya berhati-hati berikutan penemuan terbaru itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri ketika dihubungi berkata pihaknya masih belum menerima aduan berhubung kehadiran buaya di jeti berkenaan.
“Bagaimanapun, saya akan minta pegawai serta kakitangan memantau lokasi aduan tersebut sebagai tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 22 saat serta beberapa gambar memaparkan kelibat buaya berkenaan di jeti Shell, di sini, petang tadi.- KOSMO! ONLINE














