PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dilaporkan berada dalam landasan tepat untuk kembali menjalani latihan penuh selepas mengharungi proses pemulihan kecederaan lutut dialami.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, Tze Yong bagaimanapun perlu menjalani beberapa ujian perubatan terakhir selain penilaian daripada pakar.
“Perkembangan Tze Yong masih bergantung kepada ujian yang perlu dijalani. Sekiranya keputusan hasil daripada ujian itu positif, maka barulah kami boleh untuk melangkah ke fasa seterusnya.
“Kami perlu mendengar pandangan pakar mengenai keupayaannya tetapi saya jangka tidak lama lagi dia boleh menjalani latihan harian di sini (ABM). Itulah perkembangan setakat ini,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.
Julai tahun lalu, Tze Yong terpaksa menjalani pembedahan lutut di Qatar selepas dia mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika beraksi di pusingan pertama Malaysia Masters pada Mei.
Pengendali dari Denmark itu turut memberi peringatan bahawa proses pemulihan kecederaan serius seperti ACL tidak boleh dibuat tergesa-gesa kerana dibimbangi mampu mencetuskan kecederaan berulang.
Tambah Jonassen, pemain berusia 24 tahun itu sudah menunjukkan komitmen cukup tinggi sepanjang tempoh pemulihan apabila menjalani latihan ringan secara konsisten bermula dua atau tiga bulan yang lalu.
“Dia sudah menunjukkan usaha yang sangat luar biasa selain menjalani banyak sesi latihan melibatkan skil. Langkah yang seterusnya adalah untuk memastikan dia dapat berlatih pada setiap hari,” ujarnya.














