TAIPING – Seorang pengurus restoran mengalami kerugian hampir RM173,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud yang beroperasi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang berusia 51 tahun kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mula terjebak dengan sindiket berkenaan sejak Oktober tahun lalu selepas menerima mesej ringkas melalui satu kumpulan WhatsApp yang memperkenalkan skim pelaburan saham dikenali sebagai ‘Rui Jin Jihua’.
“Suspek mendakwa pelaburan itu mampu menjana keuntungan lumayan sehingga RM300,000 dalam tempoh empat hingga lima hari bekerja selain menjanjikan dividen bulanan tetap sebanyak RM3,000 bagi enam bulan pertama,” katanya hari ini.
Menurutnya, terpengaruh dengan tawaran berkenaan, mangsa bersetuju menyertai skim itu dan membuat tujuh transaksi pindahan wang ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM100,000 antara 9 hingga 15 Oktober 2025.
Mohamad Nasir berkata, keadaan bertambah buruk apabila mangsa sekali lagi diperdaya pada 29 Disember lalu selepas diminta membuat satu transaksi tambahan berjumlah RM3,000 kononnya bagi tujuan pelaburan terakhir.
“Mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dan diarahkan mengaktifkan akaun Maybank serta Hong Leong Bank miliknya bagi tujuan semakan.
“Selepas itu, mangsa mendapati berlaku pengeluaran wang tanpa kebenaran berjumlah RM41,985 daripada akaunnya dan dimaklumkan wang berkenaan telah dibekukan pihak BNM,” katanya.
Tambahnya, mangsa sekali lagi diarahkan membuat bayaran cukai berjumlah RM28,000 ke akaun yang diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah RM172,985,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE














