PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk menghantar pengadil terbaik negara untuk mengadili perlawanan ‘panas’ melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MB Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan kelibat pengadil pasti akan dipantau oleh netizen bola sepak kerana enggan ada lagi isu kontroversi yang boleh ditimbulkan pada perlawanan besar itu nanti.
Kata Pekan, pengadil yang diarahkan oleh badan induk bola sepak negara itu diharapkan dapat menjalankan tugas sebaiknya bagi menyaksikan perlawanan berlangsung dengan kompetitif.
“Saya harap FAM dapat membuat keputusan bijak kerana pengadil terbaik diperlukan untuk tersebut (JDT menentang Selangor FC). Kita harap mereka tidak tetapkan pengadil berdasarkan merit dan bukannya sentimen lain.
“Apa yang penting, pengadil yang tidak pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini dilihat sesuai untuk mengadili perlawanan yang dijangka tegang nanti.
“Sekiranya kita mahu lihat aksi berlangsung dengan kompetitif, kita perlukan pengadil yang berkualiti kerana netizen sekarang menilai setiap keputusan pengadil lebih daripada perlawanan itu sendiri,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, Pekan turut berpandangan JDT tidak ada masalah untuk meraih tiga mata di gelanggang keramat Selangor sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Super musim ini.
“Saya tak boleh kata JDT akan menang besar tetapi kemungkinan tiga atau empat gol boleh mereka jaringkan. Itu adalah tahap semasa mereka kerana buat masa sekarang, standard Selangor tidak sama lagi dengan JDT,” katanya.














