PEMAIN-PEMAIN negara digesa supaya menggunakan kesempatan bermain di laman sendiri bagi menghasilkan aksi terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang bermula Selasa ini.
Legenda perseorangan lelaki tanah air, Datuk Foo Kok Keong berkata, laman sendiri sentiasa memberikan aura positif walaupun kadang-kadang ia turut memberikan tekanan kepada pemain-pemain yang beraksi.
Jelas Kok Keong, beliau juga memanfaatkan aksi di laman sendiri ketika bergelar pemain apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia pada edisi 1990 dan 1991 sebelum tewas kepada rakan senegara, Datuk Rashid Sidek.
“Susah untuk cakap (tekanan) kerana zaman dulu, saya juga masuk final Terbuka Malaysia tetapi dua kali kalah kepada Rashid. Laman sendiri itu memang ada tekanannya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pada Terbuka Malaysia kali ini, Leong Jun Hao serta pemain profesional, Lee Zii Jia akan menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki dengan kedua-duanya tidak berdepan laluan mudah.
Jun Hao akan berdepan pemain No. 29 dunia dari China, Wang Zheng Xing di pusingan pertama, manakala Zii Jia pula dijadualkan bertemu bintang India yang sedang meningkat naik, Ayush Shetty.
Sementara itu, Kok Keong juga berharap pemain-pemain negara mempamerkan semangat juang tinggi pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 berkenaan, lebih-lebih lagi sudah memiliki pengalaman cukup luas.
“Setiap pemain mesti ada semangat kerana mereka sudah biasa bermain dalam kejohanan-kejohanan di luar negara, jadi pengalaman yang dimiliki sangat penting. Walaupun bermain di laman sendiri tetapi ia turut bergantung kepada diri masing-masing,” ujarnya.














