KLUANG – Seorang pekerja kebersihan berhadapan detik cemas selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira 10 kaki dalam kejadian di Jalan Hashim berhampiran pejabat kerajaan di sini pagi tadi.
Kejadian yang disedari rakan setugas itu terus menghubungi pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kluang untuk mendapatkan bantuan bagi mengeluarkan pekerja lelaki berusia 18 tahun yang juga warga tempatan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Ridzuan Mohd Zait berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.55 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS digerakkan.
Katanya, selepas mendapati mangsa berada dalam keadaan selamat di dalam lubang itu, pihaknya melancarkan gerakan untuk membawa naik dengan menggunakan tangga.
“Selepas mangsa berjaya menaiki tangga, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan berlaku namun dalam keadaan basah kerana lubang berkenaan turut mengandungi air di dalamnya.
“Berikutan keadaan mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan, dia kemudiannya dibenarkan pulang,”katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.- KOSMO! ONLINE














