DUNGUN – Seorang lelaki dan rakan wanitanya diberkas polis kerana disyaki mengedar dadah jenis pil Yaba di Ketengah Jaya di sini semalam.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 33 dan 39 tahun ditahan di tepi jalan di Jalan Felda Kerteh, Ketengah Jaya pada pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Curiga dengan kelibat mereka yang berdiri berduaan di tepi jalan pada awal pagi, mereka telah diperiksa.
“Pemeriksaan kemudiannya menemui pil seberat 178.69 gram disyaki pil Yaba yang dianggarkan bernilai RM13,401,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, ujian urin mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita pula negatif. – KOSMO! ONLINE














