fbpx
Laporan Kosmo! Online malam tadi berhubung bantuan daripada Avaa terhadap jemaah umrah yang terkandas di Madinah.

‘Nak bantu, datang jumpa, jangan kelirukan jemaah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Avaa Vanja yang sedang berusaha mencari jalan membawa pulang 36 jemaah umrah terkandas di Madinah, meminta mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan untuk berhubung dengannya secara terus.

Avaa yang juga mutawifah berkata, ini bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham terutama kepada jemaah tersebut, selain mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

Menurutnya, menerusi sumbangan yang sedang diterima daripada orang ramai, ia diharap dapat membeli tiket penerbangan AirAsia X dari Jeddah ke Malaysia pada Isnin ini serta dianggarkan berharga RM1,700 seorang.

“Saya nasihatkan dengan tegas, sesiapa nak hulur bantuan datang jumpa saya. Kalau nak hulur bantuan duit, hulur betul-betul. Saya buat begini atas keselamatan dan kebajikan jemaah tersebut supaya tak ditipu sekali lagi.

“Cukuplah orang scam pergi umrah, jangan sampai ummah berpaling tadah nak buat ibadah. Kalau nak hulur bantuan, ‘declair’ awak ini siapa. Jangan kelirukan jemaah.

“Nak bantu mereka, datang jumpa saya. Saya takut mereka ditipu lagi. Keadaan mereka sangat ‘fragile (rapuh),” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Avaa berkata demikian susulan dikatakan ada pihak-pihak tertentu didakwa mahu menghulurkan bantuan kepada jemaah tersebut, namun perkara itu tidak dibincangkan secara bersama.

“Saya mohon pihak-pihak berkenaan yang nak tolong Haji Fauzi, boleh datang jumpa saya, bekerjasama dengan saya. Tak perlu kelirukan jemaah. Letak di Facebook (kononnya ada bantuan), buatlah elok-elok,” katanya.

Sementara itu, Avaa sekali lagi merayu kepada orang ramai terus menghulurkan sumbangan kepada jemaah tersebut agar mereka dapat pulang ke tanah air Isnin ini.

“Saya tegaskan bantuan untuk jemaah ini iaitu membeli tiket penerbangan pulang dengan pesawat AirAsia X pada 5 Januari (Isnin). Kita kena pindahkan mereka ke Jeddah (terlebih dahulu) dan di sana juga hotel lagi murah,” katanya.

Semalam Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Madinah selepas didakwa belum mendapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia daripada pihak agensi, merayu sumbangan mana-mana pihak bagi membantu kepulangan mereka ke tanah air.

Jemaah tersebut memerlukan kira-kira RM90,000 untuk pembelian tiket pesawat dijangka berlepas pada 8 Januari, manakala tambahan RM20,000 bagi kos hotel yang perlu dipanjangkan tempoh serta logistik termasuk pengangkutan bas.

Terdahulu, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.

Bahkan, lima daripada jemaah itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada hari ini belum mendapat tiket tersebut.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membawa pulang kumpulan tersebut boleh menghubungi wakil jemaah, Ahmad Rifaei (013-2223027) atau Avaa Vanja (012-3861199). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN