AKSI pertama pusingan kedua Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Penang FC di laman sendiri malam ini bakal menjadi ujian sulung buat Tengku Hazman Raja Hassan yang baru memikul tanggungjawab sebagai jurulatih interim bermula 25 Disember lalu.
Tengku Hazman mengakui berdepan kekangan masa untuk menyiapkan pasukan dalam tempoh cuma lapan hari selepas mengambil alih skuad Sang Penyu.
“Persiapan pasukan kali ini lebih menjurus kepada penilaian dan penambahbaikan prestasi daripada perlawanan sebelum ini. Kita tidak sempat melakukan perubahan besar dari sudut taktikal berikutan tempoh persiapan yang singkat,” katanya.
Tengku Hazman berkata, beliau mengambil pendekatan lebih praktikal bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik pada hari perlawanan malam ini apabila menumpukan usaha memperkemaskan disiplin serta meningkatkan persefahaman pemain.
“Apapun matlamat utama kami sudah tentu untuk mendapatkan tiga mata dalam pertemuan dengan Penang ini. Saya mahu memanfaatkan pengalaman terdahulu sebagai penolong ketua jurulatih termasuk bersama Perak FC bagi mencapai misi berkenaan,” katanya.
Tengku Hazman berkata, beliau berhasrat memastikan TFC tampil lebih kemas dan berdaya saing sepanjang bergelar jurulatih interim skuad Sang Penyu.
Pada aksi pusingan pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, TFC yang ketika itu dibimbing Badrul Afzan Razali mudah melakar kemenangan 3-0 menumpaskan skuad Harimau Kumbang yang kini menghuni di tangga ketiga tercorot liga.














