PETALING JAYA – Kemelut prestasi skuad Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) seperti tiada penghujung selepas kalah kali kelapan berturut-turut selepas Brunei DPMM FC melakar kemenangan 3-1 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan itu, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan pada babak pertama tetapi beberapa percubaan yang dilakukan gagal menerjah jaring.
Namun, kerja keras pasukan tuan rumah akhirnya berhasil apabila berjaya meraih gol pendahuluan hasil jaringan luar kotak yang dilakukan oleh Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-46.
Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan dari Borneo itu untuk menggandakan kelebihan hasil rembatan pemain import, Jordan Murray pada minit ke-62.
Pasukan The Cops cuba bangkit selepas berjaya merapatkan jurang menerusi penyudah Fakhrul Azim Zulphatah selepas menerima hantaran tepat Park Tae-su pada minit ke-84.
Namun, Muhammad Hakeme terus memberi impak berkesan di jentara serangan dengan memastikan penjaga gol The Cops, Nor Hakeem Hamidun tewas buat kali ketiga pada penghujung saingan dengan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan DPMM kini beraih 17 mata selepas mengharungi 13 perlawanan manakala PDRM FC kekal di tangga tercorot dengan enam mata. – KOSMO! ONLINE














