KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) yang pertama kali beraksi di bawah kendalian jurulatih interim, Tengku Hazman Raja Hassan terus dirundung malang setelah tewas 0-2 di tangan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kekalahan dengan Penang yang menghuni tangga ke-10 Liga Super itu meletakkan skuad Sang Penyu kekal di tempat kelima dengan 18 berbeza cuma satu mata di hadapan Negeri Sembilan dan Brunei DPMM.
Bekas ayam tambatan TFC, Kipre Tchetche muncul duri dalam daging buat skuad Sang Penyu apabila muncul wira meledak dua gol buat pasukan lawan.
Penyerang import itu bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol tuan rumah, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin yang terkhilaf terhantar bola ke kakinya pada minit ke-69 untuk membolehkan Penang mendahului.
Kipre terus mengganas merobek gawang bekas pasukan buat kali kedua sekaligus mengesahkan kemenangan skuad Harimau Kumbang pada minit ke-89.
Babak pertama berlangsung hambar tanpa banyak percubaan berbahaya tercipta dengan kedua-dua pasukan kelihatan lebih berhati-hati mengatur gerakan.
Tuan rumah berpeluang di depan pada minit ke-8 namun sepakan percuma pemain import, Raianderson Da Costa atau Careca melambung melepasi palang.
Penang bertindak balas namun tandukan pemain tengah import, Danilo Sipovac daripada gerakan sepakan sudut pula sedikit tersasar pada minit ke-12.
TFC sekali lagi hampir di depan namun tendangan padu pemain sayap, Akhyar Rashid dari luar kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Mohmad Ramdhan Ab. Hamid pada minit ke-62. – KOSMO! ONLINE














