PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mendapat latihan berkualiti menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 menerusi kehadiran bintang India, Lakshya Sen di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Ia menjadi persediaan terbaik buat bekas juara remaja Asia itu bagi menampilkan aksi terbaik pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 berkenaan, lebih-lebih lagi bermain di laman sendiri.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen menganggap kehadiran Lakshya memberi banyak manfaat buat pemain-pemain negara selain jarang mendapat peluang beraksi dengan rakan sepelatih bertaraf dunia.
“Ya, dia (Lakshya) menyertai sesi latihan bersama kami untuk tempoh beberapa hari ini. Dia memang datang ke sini sebagai persediaan bagi menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia dan kami mengalu-alukan kehadirannya.
“Saya rasa ia memberikan manfaat kepada kami kerana kualiti latihan itu tidak diperolehi setiap hari. Ini adalah peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan semua pemain,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.
Menjelang pusingan pertama Terbuka Malaysia yang akan membuka tirainya Selasa ini, Jun Hao dijadualkan berdepan pemain No. 29 dunia dari China, Wang Zheng Xing dengan kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.
Sementara itu, pengendali dari Denmark berkenaan menjelaskan, pemain bertaraf dunia seperti Lakshya memberikan kualiti latihan berbeza selain mampu menjadikan suasana latihan seolah-olah perlawanan sebenar.
“Kualiti dan kelajuan yang dihasilkan pemain bertaraf dunia dalam latihan sangat berbeza. Itulah tekanan yang kita rasakan apabila bermain dalam kejohanan, bagi saya ini situasi menang-menang,” ujar Jonassen.
Selain Jun Hao, misi dalam acara perseorangan lelaki akan turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia yang kembali ke kejohanan kompetitif selepas berehat panjang akibat kecederaan.














