fbpx
SEORANG lelaki mengisi RON95 menggunakan kereta bernombor pendaftaran Singapura yang ditutup dengan 'salotape'.

KPDN siasat kes lelaki Singapura isi RON95 guna kereta tutup nombor plat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor telah menyiasat insiden individu mengubah nombor pendaftaran kenderaan Singapura untuk ‘mencuri’ RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan pasukan siasatan sudah digerakkan untuk tujuan pemeriksaan.

“Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan.

“Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat terkini akan dikemas kini nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, menerusi video berdurasi satu minit 30 saat yang tular, seorang lelaki dewasa dilihat sedang mengisi minyak petrol RON95 di sebuah stesen minyak disyaki di daerah Kulai ke dalam kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.

Lelaki itu bertindak menutup beberapa huruf nombor pendaftaran dengan ‘salotape’ untuk dilihat seolah-olah nombor plat itu adalah nombor pendaftaran Malaysia.

Pemilik video mendakwa kemungkinan ia taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 10.35 malam tadi, namun laporan diterima pada pukul 10.05 pagi tadi.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN