MELAKA – Kanak-kanak penghidap penyakit biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, 2 tahun 4 bulan, yang menjalani pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China minggu lalu kini dipindahkan ke wad biasa selepas tujuh hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata, dia dan isteri berasa lega dapat bertemu semula anak mereka selepas tempoh sukar berkenaan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan Medina sangat kuat menghadapi ujian ini.
“Medina sudah mampu duduk dan mula mengambil makanan seperti biskut, namun dalam kuantiti yang sedikit dan secara berperingkat mengikut nasihat doktor,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut dia memberitahu, anak pertamanya itu tidak mengalami sebarang komplikasi dan menunjukkan proses pemulihan yang diharapkan.
“Ini (keadaan positif) memberikan harapan kepada seluruh ahli keluarga,” ujarnya.
Kosmo! pada 22 Disember lalu melaporkan Muhammad Ikmal merayu seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kelancaran prosedur pembedahan pemindahan hati Medina yang dijadualkan berlangsung di Hospital Shanghai, China.
Dia yang akan mendermakan sebahagian hati kepada Medina berkata, doktor memberi prognosis 50-50 susulan hati kanak-kanak itu sudah mula menjadi keras kerana pembedahan itu sepatutnya dilakukan ketika anaknya berusia setahun tetapi dana tidak mencukupi.
Ujarnya, kos bagi pembedahan tersebut bagaimanapun berjaya ditampung dengan sebahagian besar telah disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh iaitu sebanyak RM120,000, manakala RM62,000 dikutip melalui Yayasan Nanyang Press.
Pembedahan kemudian berjaya dilakukan tanpa sebarang komplikasi pada 23 Disember lalu, namun Medina ditempatkan di ICU bagi tujuan pemantauan rapi dan terpaksa ditidurkan selama empat hari susulan penemuan kuman di paru-paru kanak-kanak itu.-KOSMO! ONLINE














