KERJA kebajikan dengan penyanyi serta aktivis kemasyarakatan, Zizi Kirana memang tidak boleh lagi dipisahkan.
Kemuncak penglibatan pemilik nama lengkap Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu adalah menyertai misi pelayaran ke Gaza bawah panji Global Sumud Flotilla (GSF) sekitar September 2025.
Bersama lebih 800 sukarelawan serata dunia yang membawa misi keamanan sejagat, kelibat wanita kecil molek itu mencuri perhatian ramai dengan semangat dimiliki untuk ke Palestin.
Hakikatnya, selebriti berjiwa besar yang menggunakan laman maya sebagai gelanggang menzahirkan sokongan serta harapan terhadap Gaza itu serius dengan kerja amal sejak 2017.
Bermula dengan mengagihkan makanan kepada gelandangan sehingga akhirnya membawanya ke Syria seterusnya menuju ke bumi Palestin.

Jumpa gelandangan
Menurut Zizi, sikap mahu meringankan beban insan lain adalah bertitik-tolak daripada semangat ibunya, Fatimah Kassim, yang menjadi nadi terhadap semangat juangnya.
“Sejujurnya mama adalah insan yang membuatkan saya menjadi individu sarat empati. Saya mudah kasihan terhadap orang lain, lebih-lebih lagi orang susah, tiada tempat tinggal.
“Mama selalu pesan, kita kena tolong orang lain. Jangan risau untuk berkongsi rezeki kerana setiap yang kita peroleh ada bahagian untuk insan lain.
“Itu didikan mama saya kepada kami lima beradik. Malah biasanya mama akan bawakan bekal ke sekolah yang lebih untuk dikongsi. Jangan biar kawan lapar, itu pesannya,” kongsinya mengimbas zaman kanak-kanak.
Cerita pelantun lagu Pijak itu lagi, dibesarkan wanita kuat semangat berstatus ibu tunggal sejak masih kecil juga banyak mengajarnya erti pengorbanan.
Menurutnya, sebagai anak sulung hubungannya dengan ibu sangat akrab, malah mereka mempunyai banyak persamaan dari segi sikap dan kecenderungan.
“Sebenarnya saya mahu berterima kasih kepada mama yang sentiasa mendidik kami berlima dengan penuh kesabaran selain sentiasa berusaha memenuhi permintaan anak-anak.
“Mungkin orang lihat kami hidup senang, tapi pastinya bukan mudah kehidupan sebagai ibu tunggal yang perlu menyuap lima mulut. Selaku anak sulung, saya jadi saksi jatuh bangunnya.
“Waktu itu mama memang bekerja, cuma dengan pendapatan kecil kehidupan kami cukup makan pakai saja. Paling saya kagum, mama tetap bantu orang yang memerlukan dengan caranya sendiri,” ujarnya.

Tabur bakti
Mengenang memori silam selain gembira apabila insan istimewa di hatinya itu juga sudah lama menemui kebahagiaan dengan suami baharu, Zizi mengakui kini semakin bersemangat untuk menabur bakti.
Pada pertemuan dengan HibGlam, aktivis berumur 40 tahun itu memaklumkan biarlah kini dia pula meneruskan kecenderungan ibunya yang gemar melakukan kerja amal dan kebajikan.
“Kiranya saya mula serius ‘turun padang’ sekitar lapan tahun lalu bersama kelab peminat, Zizi Palace dengan mengagihkan pek makanan kepada gelandangan di Chow Kit.
“Kami buat secara berkala sebelum buat kerjasama pula dengan kelab lain. Banyak juga aktiviti masa itu tapi beri makanan sudah dimasak tetap jadi aktiviti utama.
“Penyediaan kami buat beramai-ramai, begitu juga dengan tugasan pengagihan. Banyak perkara saya pelajari apabila turun padang bertemu sendiri dengan anggota masyarakat,” katanya dengan 1,001 pengertian.

Dua kali ke Syria
Terdiam seketika, nada suaranya kembali bersemangat tatkala ditanya mengenai kunjungan ke Syria sebanyak dua kali iaitu pada 2024 diikuti 2025.
“Sudah rezeki saya bersama Ardell diundang pertubuhan Cinta Syria Malaysia untuk menyampaikan sumbangan, makanan, dan bantuan perubatan kepada penduduk di kawasan terjejas, terutama di wilayah Azaz.
“Antara detik tak dapat saya lupakan adalah ketika memeluk seorang demi seorang wanita serta kanak-kanak Syria yang berdepan krisis kemanusiaan ditambah cuaca ekstrem.
“Perasaan itu sukar digambarkan. Mereka kata, dalam fasa sukar ini kehadiran sukarelawan bukan hanya membawa makanan dan ubatan, bahkan merawat jiwa yang dimamah penderitaan.
“Mendengar kata-kata keramat sebegitu semakin membakar semangat saya untuk terus membantu mereka biar berdepan pelbagai dugaan,” katanya.
Ceritanya lagi, sewaktu ke Syria, rombongannya menyaksikan letupan bom semasa misi di Azaz, namun tetap kembali ke negara di Asia Barat itu setahun kemudian dalam misi musim sejuk.
Tiada kebimbangan mahupun perasaan serik walau nyawa pernah di hujung tanduk, Zizi memaklumkan bakal menyertai GSF 2.0 yang dijangka memulakan pelayaran pada Mac atau April 2026.
Bagi isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu, dia mahu kembali melakukan cubaan masuk ke Gaza berikutan restu diberikan kepada keluarga.
“Tempoh hari delegasi kami disekat Israel, namun kami semua termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang lain selamat kembali ke pangkuan keluarga.
“Saya tidak akan patah semangat. Kami tak dapat masuk Gaza dan saya sendiri belum berpeluang lagi berjumpa wanita serta kanak-kanak Palestin di sana apatah lagi memeluk mereka.
“Insya-Allah kami akan datang lagi, bawa suara dunia, bantuan makanan serta semangat. Doakan pemergian kali ini dilancarkan. Apa pun semuanya masih dalam perancangan, kita tunggu perkembangan,” katanya yang baru pulang dari Aceh, Indonesia bagi misi bantuan banjir, baru-baru ini.















