MARANELLO – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Formula Satu (F1), Stefano Domenicali berharap ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur mampu mengembalikan kegemilangan pasukan itu menjelang saingan musim baharu nanti.
Ramai menganggap Ferrari akan kembali ke puncak selepas mendapatkan khidmat juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton untuk bergandingan bersama Charles Leclerc tetapi tanggapan itu meleset sama sekali.
Domenicali berkata, beliau percaya semua pihak dalam Ferrari sedar dengan situasi yang sedang dihadapi selain yakin Vasseur, Hamilton dan Leclerc tahu apa perlu dilakukan pada musim 2026.
“Saya seorang yang berfikiran positif, jadi tidak perlu melatah dengan situasi dihadapi Ferrari ketika ini. Saya yakin mereka termasuk Fred (Vasseur), Hamilton dan Leclerc sudah memiliki perancangan tersendiri.
“Sudah tentu mereka mahu menunjukkan respons selepas apa yang berlaku pada saingan musim lalu. Kami juga mahukan Ferrari yang kuat serta mampu mencabar kedudukan di kelompok hadapan,” katanya.
Pada saingan musim lalu, pasukan dari Itali itu sekadar berpuas hati menamatkan kempen di kedudukan keempat dalam kategori pengeluar manakala Leclerc dan Hamilton masing-masing berada di tangga kelima dan keenam.
“Mereka perlu menggunakan masa yang ada sepanjang tempoh rehat ini bagi membangunkan jentera terbaik. Pastinya semua orang akan bercakap mengenai mereka sebaik sahaja saingan 2026 bermula,” ujar Domenicali. – AGENSI














