LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot melabel pasukannya melakukan tugas yang sia-sia selepas diikat tanpa jaringan oleh Leeds United pada aksi di Anfield, awal pagi semalam.
Kegagalan memecahkan kebuntuan jaringan langsung tidak menggambarkan penguasaan permainan The Reds sepanjang perlawanan dan ia nyata memberikan kekecewaan buat Slot.
Biarpun berjaya meraih 69 peratus penguasaan, Liverpool seperti berdepan masalah untuk mencipta peluang terbaik untuk menjaringkan gol, namun turut bernasib baik apabila gol pemain lawan, Dominic Calvert-Lewin dibatalkan kerana ofsaid
“Untuk mencipta peluang ketika menentang pasukan yang bertahan, kami memerlukan rentak dan detik istimewa daripada pemain. Kami tidak akan lihat banyak hantaran apabila menentang lawan yang bertahan di garisan rendah.
“Saya fikir kami adalah pasukan yang mempunyai penguasaan perlawanan tertinggi dalam liga. Namun, penguasaan seperti ini tidak akan beri makna besar jika gagal menghasilkan peluang,” kata Slot.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool kini ketinggalan 12 mata berbanding Arsenal yang sedang mendahului carta Liga Perdana Inggeris
“Bagi beberapa pasukan, situasi bola mati adalah cara terbaik menjaringkan gol ketika menentang pasukan bertahan. Satu lagi cara adalah dengan detik ajaib seperti dilakukan Jeremie Frimpong semasa menentang Wolves, malangnya kami gagal menjaringkan go,” katanya. – AGENSI














