LONDON – Aston Villa kembali berada di landasan kemenangan selepas menang 3-1 ke atas Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Villa Park, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Villa selaku tuan rumah cuba dilihat sudah melupakan kekalahan ke atas Arsenal awal minggu ini apabila berjaya mendominasi saingan tanpa membuka ruang buat Forest.
Kerja keras tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada penghujung saingan apabila penyerang utama, Ollie Watkins meledak gol pembukaan pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Villa semakin selesa apabila kapten, John McGinn hanya memerlukan empat minit untuk melebarkan kelebihan selepas menyudahkan hantaran Matty Cash.
Tersentak dengan gol tersebut, Forest memperkemaskan jentera serangan dan pemain sensasi, Morgan Gibbs-White berjaya merapatkan kedudukan menjadi 1-2 pada minit ke-61.
Namun, momentum Forest dihalang apabila McGinn meledak gol kedua peribadi pada minit ke-73 sekali gus mengesahkan kemenangan Villa apabila keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Villa terus selesa dalam posisi ‘Top 4’ apabila meraih 42 mata selepas mengharungi 20 perlawanan. – AGENSI














