fbpx
Gambar yang dimuat naik oleh Afiz Ayub di laman Facebook.

Dana 36 jemaah umrah teraniaya ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADINAH – Kutipan dana bagi membantu 36 jemaah umrah yang terkesan melibatkan keluarga Umrah Haji Fauzi ditutup secara rasmi selepas sumbangan orang ramai mencecah RM46,177.16 hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengasas Afiz Ayub Foundation, Afiz Ayub, menerusi satu hantaran di media sosial yang memaklumkan bahawa bantuan yang diterima sudah mencukupi bagi menampung keperluan semasa jemaah terlibat.

Menurut hantaran tersebut, wakil keluarga yang menetap di Madinah telah hadir ke hotel penginapan jemaah bersama isterinya bagi menyantuni keluarga terbabit.

“Mereka turut memasak dan menyediakan makanan tengah hari untuk keluarga ini sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral,” katanya.

Hantaran sama turut menjelaskan keputusan menutup kutipan dana dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta fitnah dalam kalangan masyarakat.

“Cukuplah setakat ini. Pasti akan ada lagi hamba Allah yang ingin menyumbang, namun kita tidak mahu timbul sebarang salah faham pada masa akan datang,” jelasnya.

Difahamkan, sekiranya terdapat lebihan dana selepas semua urusan jemaah diselesaikan, wang tersebut akan disalurkan sebagai wakaf ibadah umrah melalui saluran yang berkenaan.

Dalam pada itu, Afiz turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai termasuk penyumbang dari Singapura yang menghulurkan sumbangan ribuan ringgit terus ke akaun mangsa.

“Semoga semua yang terlibat diberikan ganjaran pahala yang sebaik-baiknya di dunia dan akhirat,” katanya.

Terdahulu, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda dilaporkan hidup seperti nomad apabila terpaksa berpindah-randah antara beberapa hotel di Mekah dan Madinah akibat kegagalan agensi pelancongan membuat tempahan penginapan lebih awal.

Malah, lima daripada mereka yang dijadualkan pulang ke Malaysia pada 30 Disember lalu masih terkandas selepas didakwa tidak memiliki tiket penerbangan, manakala kumpulan selebihnya yang sepatutnya pulang hari ini juga masih belum menerima tiket masing-masing.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN