KLANG – Penahanan sebuah bot penumpang yang melebihi kapasiti dibenarkan membawa penemuan seorang lelaki tanpa dokumen sah di kedudukan 1.3 batu nautika barat Pelabuhan Klang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.50 petang.
Katanya, bot tersebut ketika itu dalam perjalanan ke Pulau Ketam dari jeti awam Pelabuhan Klang.
“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen apabila membawa 42 penumpang melebihi 34 individu yang dibenarkan.
“Kita turut menahan seorang penumpang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun turut yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Imigresen 1959/63.
“Bot, kru dan penumpang warga asing berkenaan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














