KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pelakon antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh yang disifatkan sebagai simbol kerja keras, disiplin dan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Anwar berkata, Michelle Yeoh adalah seorang pelakon luar biasa yang versatil dan berdisiplin dalam membawakan pelbagai watak, selain berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai pemenang Anugerah Oscar Asia pertama.
“Apakah yang mendorong seorang gadis Malaysia dari sebuah bandar kecil di Pulau Pinang untuk muncul sebagai bintang besar Hollywood? Inilah kisah tentang kerja keras, kecekalan dan keberanian merebut peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar, I LITE U Pavilion Kuala Lumpur, di sini, malam ini.
Anwar berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan yang menyokong penganjuran acara tersebut dan menegaskan bahawa kejayaan rakyat Malaysia di persada dunia wajar diraikan bersama tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, Michelle Yeoh dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai sumber inspirasi sepanjang perjalanan kerjayanya.
Katanya, kejayaan tidak hadir dengan mudah, sebaliknya menuntut usaha berterusan serta sokongan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling.
“Setiap kali saya pulang ke Malaysia dan melihat wajah-wajah anda semua, ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih baik dan mewakili Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelbagai kaum, mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India serta penduduk Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE














