fbpx
Tangkap layar video menunjukkan kepulan asap naik ke ruang udara disertai beberapa bunyi letupan kuat di Caracas pagi tadi. - TikTok

Amerika serang Caracas, Presiden Venezuela isytihar darurat  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CARACAS – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro hari ini mengisytiharkan darurat berhubung apa yang disebut kerajaannya sebagai ‘pencerobohan yang amat serius’ oleh tentera Amerika Syarikat ke atas ibu negaranya, Caracas.

Venezuela menolak, mengecam, dan mendedahkan kepada komuniti antarabangsa pencerobohan ketenteraan yang amat serius yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat sekarang terhadap wilayah dan rakyat Venezuela,” kata Maduro.

Terdahulu, bunyi letupan kuat kedengaran di ibu negara Venezuela, Caracas pagi tadi dengan beberapa kawasan di bandar raya itu terputus bekalan elektrik, lapor saluran berita CNN. 

Letupan pertama direkodkan sekitar pukul 1.50 pagi (waktu tempatan).

“Satu letupan itu sangat kuat hingga menyebabkan tingkap saya bergegar,” kata wartawan CNN di Caracas, Osmary Hernandez.

Beberapa lokasi di bandar raya itu juga terputus bekalan elektrik dan wartawan CNN yang berada di ibu negara Venezuela itu berkata, dia mendengar bunyi pesawat selepas letupan berlaku.

Klip video kejadian yang diperoleh dan disahkan CNN menunjukkan dua kepulan asap naik ke langit malam di Caracas. Cahaya jingga dilihat di pangkal salah satu kepulan asap tersebut. Kemudian, cahaya muncul seketika di lokasi lain, diikuti bunyi dentuman lebih perlahan.

Saluran berita Venezuela, Efecto Cocuyo dan Tal Cual Digital melaporkan letupan juga kedengaran di negeri La Guaira,  utara Caracas dan di kawasan pantai negara itu serta di Higuerote iaitu bandar tepi pantai dalam negeri Miranda.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump berulang kali memberi amaran bahawa Amerika Syarikat sdang bersiap untuk mengambil tindakan baharu terhadap rangkaian pengedaran dadah yang didakwa berada di Venezuela dan akan menyerang sasaran di darat dalam masa terdekat.

Pada Oktober lalu, Trump memberitahu, beliau membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) beroperasi dalam Venezuela CIA untuk membendung aliran pendatang tanpa izin dan dadah dari negara Amerika Selatan itu.

CNN telah menghubungi White House dan Jabatan Negara dan Pentagon untuk mendapatkan komen berhubung perkembangan terbaru ini. – AGENSI.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI