SABAK BERNAM – Malang menimpa dua beradik tiri apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Bendang Parit 4, Sungai Besar di sini, petang tadi.
Mangsa yang maut berusia 20 tahun manakala seorang lagi berusia 15 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Wira.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.40 petang.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati Proton Wira itu terbabas masuk ke dalam parit berkedalaman kira-kira dua meter.
“Seorang mangsa berjaya dibawa naik dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan kecemasan seterusnya dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa disahkan maut selepas ditemukan di perangkap sampah pada jarak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian pada pukul 6.55 petang,” katanya.
Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














